Sejarah Sekolah | Print |  E-mail
Article Index
Sejarah Sekolah
Perasmian Bangunan Baru
Kemasukkan Pelajar Perempuan dan Penubuhan OTAK
All Pages

1

Sejarah Sekolah Saint Thomas sebenarnya bermula pada tahun 1910, apabila tanah di mana sekolah ini dibina dibeli oleh seorang paderi bernama Anthony Duvelle dengan harga $ 100. Duvelle kemudiannya membina sebuah gereja kecil dengan nama Saint Thomas. Pengasas sekolah ini kemudiannya, menamakan sekolah ini sempena nama gereja tersebut.

Sekolah Saint Thomas ditubuhkan oleh Rev. Father Guittat pada bulan April 1950 di perkarangan Gereja Saint Thomas dengan dibantu oleh Rev. Father Reutens dan berikutnya Rev. Father Yap. Sekolah ini bermula dengan 40 orang pelajar dan menjelang 1951, bilangan pelajarnya meningkat kepada 80 orang. Sekolah Rendah ini adalah sebuah sekolah persendirian dan kemudiannya dijadikan Sekolah Bantuan pada tahun 1953. Mulai Januari 1954, bilangan pelajarnya sudah meningkat ke 180 orang. Sekolah ini kemudiannya diletakkan di bawah naungan Marist Brothers dan seterusnya St. Gabriel.

2

3

Pada tahun 1956, pelajaran Sekolah Menengah dimulakan dan pelajar sekolah ini ditempatkan di sebuah pondok atap yang serba kekurangan. Namun demikian, pengasingan pentadbiran antara Sekolah Rendah dan Menengah hanya dibuat pada Januari 1958, di mana Bro. William menjadi Guru Besar Sekolah Menengah dan Bro. Aloysius, Guru Besar Sekolah Rendah.

1

Sekolah Saint Thomas mencipta sejarah pada tahun 1960, apabila buat pertama kalinya di bawah pentadbiran Bro. Eugene, mencapai kelulusan 100% dalam peperiksaan The Overseas School Certificate.

 


Bangunan 3 tingkat yang sedia ada dibina pada tahun 1961 dan pembukaannya dirasmikan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al- Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdullah pada 18 Jun 1961 manakala bangunan Sekolah Rendah yang sedia ada, dibina pada tahun 1963

2

 

 


Dari tahun 1962 hingga 1967, Sekolah Saint Thomas menubuhkan sebuah Private School di bawah kelolaan Sekolah Menengah. Buat julung kalinya, sekolah ini menerima pelajar perempuan yang melanggar tradisi Sekolah Saint Thomas yang dikhaskan untuk pelajar lelaki sahaja. 

4

Pada tahun 1966, bekas pelajar sekolah ini telah berkumpul dan menubuhkan OTAK (Old Thomasians Association of Kuantan). En. Phuah Chong Aun telah dipilih untuk menerajui persatuan ini. OTAK telah banyak memberikan bantuan tenaga dan juga wang untuk mengurangkan beban kewangan Sekolah Saint Thomas yang hanyalah sebuah Sekolah Bantuan. Disamping OTAK, Persatuan Ibubapa dan Guru-Guru (PIBG) telah ditubuhkan pada tahun 1971 untuk memberikan khidmat kepada sekolah ini terutamanya menjaga kebajikan pelajarnya.

5

Menjelang 1967, timbul masalah di mana pelajar sekolah ini yang lulus peperiksaan LCE (Lower Certificate of Education) tidak mempunyai tempat untuk melanjutkan pelajaran mereka ke tingkatan 4. Ramai dari mereka terpaksa meneruskan pelajaran mereka ke Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar dan lain-lain sekolah di Kuantan. Akibatnya, Sekolah Menengah Saint Thomas telah diturunkan tarafnya menjadi Sekolah Menengah Rendah pada tahun tersebut. Ia hanya dinaikkan taraf ke Sekolah Menengah Penuh pada tahun 1977.

 

Sempena dengan ulang tahunnya yang ke-25, Sekolah Rendah dan Menengah Saint Thomas telah mengadakan Perayaan Jublee Peraknya pada 27 Jun 1975.  Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah iBni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al- Mu’adzam Shah dan Almarhumah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajjah Afzan Binti Tengku Muhammad telah berkenan mencemar Duli dan berangkat merasmikan perayaan tersebut.

 

Pada tahun 1978, sekolah ini memulakan Kelas Sains Tulin dan sebuah makmal Sains yang lengkap sangat diperlukan. Oleh itu, menjelang 1981, sebuah Bangunan Makmal Sains Baru telah dibina dengan anggaran kos $250,000. Bangunan tersebut telah dirasmikan oleh bekas pelajar Saint Thomas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah pada 23 Mei 1981.

Walaupun pengasas-pengasas Sekolah Saint Thomas bersara mereka tetap tidak melupakan sekolah ini. Pada tahun 1979, Bro. Francis Tessier (Guru Besar Sekolah Menengah dari 1965-1973 dan Pengasas OTAK) telah membuat lawatan ke Sekolah Saint Thomas dan seterusnya merasmikan  Jamuan Makan Malam yang dianjurkan OTAK. Manakala pada bulan Mei 1986, Rev. Bro. Aloysius iaitu bekas Guru Besar Sekolah Menengah (1954-1957) dan Sekolah Rendah (1954-1959) yang menetap di Scotland turut melawat sekolah ini.  

Sementara itu, Rev. Father Guittat yang meninggalkan Sekolah Saint Thomas pada tahun 1957 kerana masalah kesihatan, terus berinteraksi dengan Sekolah Saint Thomas melalui surat dari Perancis. Walaupun tidak dapat menghadiri Sambutan Jubli Perak, beliau melawat kembali Sekolah Saint Thomas pada bulan Julai 1975 dan juga buat kali terakhirnya pada tahun 1995. Rev. Father Louis Guittat, pengasas The La Salle English School Klang dan Saint Thomas English School Kuantan, meninggal dunia pada September 2001 di Perancis. Beliau berumur 91 tahun. Satu  upacara peringatan telah diadakan di Gereja St. Thomas pada 14 Oktober 2001.

 

Menjelang 2006, Sekolah Menengah Saint Thomas menyambut Perayaan Jubli Emas  sempena 50 tahun penubuhannya. Pada 12 Ogos 2006, satu Jamuan Makan Malam telah diadakan di Meranti Ballroom Hotel Hyatt, Kuantan. Walaupun Rev. Father Guittat sudah tidak ada lagi, namun majlis tersebut diraikan dengan kehadiran hampir 250 orang tetamu yang terdiri dari bekas pelajar sekolah dan juga bekas-bekas Guru Besar dan Pengetua Saint Thomas seperti Lionel Thomasz, D’Cruz, Kenneth Sta. Maria, Choo Tai Chin dan ramai lagi

 

Antara tahun 2003-2006, masa depan Sekolah Saint Thomas menjadi tidak tentu apabila Gereja Saint Thomas yang merupakan tuan punya tanah di mana sekolah ini dibina bercadang untuk mengambil kembali tanah tersebut untuk kegunaan pihak gereja. Menjelang 2007, pihak gereja menghantar surat rasmi kepada pihak sekolah memaklumkan tentang hasrat tersebut tetapi sehingga 2010, perkara tersebut masih lagi ditahap perbincangan di antara Kementerian Pelajaran dan Pihak Gereja St. Thomas.

 

Sekolah Menengah Kebangsaan Saint Thomas mengalami transformasi pasaranan yang agak mendadak pada tahun 2009 di bawah pimpinan En. K. Nandakumaran (Pengetua SMK Saint Thomas 2007-kini) yang juga merupakan seorang bekas pelajar sekolah ini. Beliau banyak berusaha mendapatkan bantuan kewangan dari pelbagai pihak khasnya dari PIBG dan akhirnya mendapat peruntukan hamper RM 300 000 dari Kementerian Pelajaran untuk membaiki dan menambahkan bangunan Sekolah Saint Thomas yang semakin uzur. Hari ini keadaan Sekolah Saint Thomas telah banyak berubah berbanding bangunan atap yang dibina pada 1956.

 

Sejarah Sekolah Saint Thomas akan sentiasa dihiasai dengan nama-nama seperti Father L. Guittat, Bro. Aloysius, Father John Yap, Father Reutens, Bro. William, Bro. Eugene, Bro. Raymond, Bro. Urban, Bro. Tessier, Bro. Vincent, Marist Brothers, Gabriel Brothers, M.N. D’Cruz, Kenneth Sta. Maria, Lionel Anthony Thomas dan ramai lagi. Sumbangan mereka kepada sekolah ini akan sentiasa diingati dan terpahat dalam sejarah Saint Thomas.

Sejarah Smk Saint Thomas.

 

Tanggal 1 September 2010 merupakan Era baru kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Saint Thomas. Hal ini kerana pucuk pimpinan sekolah di terajui oleh Tuan Haji Asruddin bin Haji Abas. Beliau adalah mantan Pengetua SMK Seri Damai dan anak jati Kedah serta menetap di Kuantan.

Pada 2013, merupakan tahun mencabar bagi sekolah. Pihak Gereja St. Thomas yang merupakan tuan punya tanah di mana kedua-dua sekolah tersebut ditempatkan bercadang mengambil kembali tanah tersebut untuk kegunaan pihak gereja

Isu ini telah berlanjutan dan pada tahun 2011, Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ) telah mengemukakan permohonan pengambilan tanah di bawah Seksyen 3(1)(A) Pengisytiharan di bawah Seksyen B Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk membuat pengambilan tanah milik gereja berkenaan. Pada 23 November 2012, KPM telah menarik balik permohonan pengambilan balik tanah di bawah Seksyen 36(1) APT 1960 bagi Lot 349 (3.92 ekar) SK St. Thomas dan sebahagian PT 101/705 (1.74 ekar) SMK St. Thomas.

Perkara ini diputuskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ) berdasarkan memo YAB Perdana Menteri kepada KPM meminta agar tanah tersebut dikekalkan kepada pihak gereja. Pada 6 Februari 2013 Tetuan Bastian Vendargon telah menghantar surat kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia memaklumkan bahawa Notis Untuk Keluar dan Menyerah Milikan bertarikh 16 Jun 2008 telah luput pada 31 Disember 2012 yang mana pendudukan  yang berterusan ke atas tanah Gereja St. Thomas, Kuantan merupakan suatu pencerobohan yang berpanjangan, Walau bagaimanapun pihak Titular Catholic Archbishop Kuala Lumpur bermurah hati melanjutkan tempoh menyerahkan milikan tanah tersebut pada 31 Disember 2013 dan  pada 26 Mac 2013 pihak gereja membenarkan permohonan KPM untuk melanjutkan kependudukan dan sekolah beroperasi di tanah tersebut sehingga 31 Disember 2015 dengan syarat KPM perlu membayar sewa tanah pada  22 Julai 2013.

KPM telah memutuskan untuk menamatkan operasi atau proses pengajaran dan pembelajaran di SK St. Thomas dan SMK St. Thomas pada 31 Disember 2013. Walau bagaimanapun KPM memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan isu-isu logistik seperti pemindahan keluar aset-aset KPM.

Sehubungan itu pada 22 Julai 2013 KPM telah memohon pertimbangan daripada pihak gereja agar penyerahan tapak sekolah-sekolah tersebut ditangguhkan kepada 30 Jun 2014 tanpa dikenakan sewaan. Pada 16 Ogos 2013 Tetuan Bastian Vendargon yang mewakili pihak gereja telah memaklumkan menerusi surat akan persetujuan penamatan operasi atau proses pengajaran dan pembelajaran sehingga 31 Disember 2013 dan proses penyerahan tapak dilaksanakan sehingga 30 Jun 2014.

Pihak KPM pada 12 Oktober 2013 bertempat di SK St. Thomas, Kuantan telah mengadakan perjumpaan khas bersama-sama warga SK St. Thomas dan warga SMK St. Thomas bagi memaklum dan membincangkan isu tersebut.

Antara Keputusan KPM Setelah mendapat persetujuan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia pada 28 Oktober 2013,

KPM telah memutuskan untuk mengambil tindakan seperti berikut, iaitu Menamatkan operasi  Pengajaran dan Pembelajaran ( PdP )  SK St. Thomas dan SMK St. Thomas pada 31 Disember 2013.  Sementara pemindahan aset dilakukan sehingga 30 Jun 2013. SK St. Thomas  berpindah dan menumpang di SK Teruntum, Kuantan bermula sesi persekolahan tahun 2014. Manakala, SMK St. Thomas berpindah dan menumpang di SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan bermula sesi persekolahan tahun 2014  dan Menubuhkan Jawatankuasa Bertindak (Task Force)  dipengerusikan oleh Datuk Mazlan bin Mohamad Pengarah BPSH, KPM  bagi melaksanakan urusan tersebut dan JPN Pahang sebagai sekretariat Tempoh perpindahan dan menumpang tersebut adalah sehingga sekolah baru di tapak baru siap iaitu dijangka mengambil masa selama 5 tahun.

Pihak Kerajaan Negeri Pahang juga telah menyatakan komitmen dan bersedia  membantu KPM mendapatkan tapak baru bagi sekolah tersebut. Antara cadangan Pembinaan Sekolah yang baharu ialah, Memohon pindah guna sebahagian tanah seluas 8 ekar milik Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada KPM di Lot PT96326 kepada kegunaan pendidikan, atau Tapian Gelanggang Kuantan seluas 15 ekar (tanah milik Kerajaan Negeri Pahang) yang digunakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri, atau Menggunakan tanah rizab tanah kerajaan untuk KPM yang mana tanah ini asalnya adalah dirizabkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah untuk mendirikan SM Vokasional Pendidikan Khas, terletak di belakang SK Bukit Rangin berdekatan jalan pintasan Kuantan ke pelabuhan berkeluasan 25 ekar.

Setelah selesai pemindahan aset KPM ke SMK Sultan Abu Bakar pada 1 Jan 2014, maka bermulalah lembaran baru kepada sejarah SMK Saint Thomas. Perjuangan anak- anak bangsa dalam pendidikan diteruskan oleh warga pendidik SMK Saint Thomas. Harapan Pengetua Cemerlang SMK Saint Thomas agar Kecemerlangan diteruskan walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Telah terbukti bahawa tokoh- tokoh yang hebat dalam sejarah lahir dari Ujian- ujian yang hebat. Tambahan pula Smk Sultan Abu Bakar merupakan Sekolah Kluster Kecemerlangan dan diharap agar SMK Saint Thomas dapat meresapi Kecemerlangan yang ada pada SMK Sultan Abu Bakar. “Saint Thomas Top Ten”.

Pada tahun 2015, Tuan pengetua sekolah, Tuan Haji Asruddin telah menetapkan empat nilai yang perlu dipupuk oleh setiap warga sekolah untuk mencapai visi sekolah. Nilai-nilai sekolah adalah :

R.I. P. E.

R-Responsible, I- Innovative,  P-Positive , E- Excellent

 

 

 
Home Profil Sekolah Sejarah Sekolah
Joomla! Template design and develop by JoomVision.com - http://www.joomvision.com
UGG Classic Jimmy Choo Outlet Moncler Women Vests Moncler Mens http://www.pasolinimedellin.com/research/ http://www.pasolinimedellin.com/partners.html Moncler Jackets Christian Louboutin Online Cheap Jimmy Choo outlet Canada Goose Parkas Christian Louboutin Pumps